Ahad, 24 Julai 2011

Sebuah Permulaan




Sudah lama saya bercadang untuk menceburkan diri dalam bidang penulisan , namun hajat itu kadang-kadang menjadi satu dilema untuk penuntut ilmu seperti saya. Siapalah aku untuk menulis , cukup banyakkah ilmu di dada untuk dikongsi , mampu kah komitmen diberi dan beberapa persoalan lain berlegar di minda saya untuk meneruskan hajat yang sudah lama terbuku dihati . Namun semangat itu kembali ditiup di dalam jiwa apabila persoalan yang lebih penting menjadi sumber inspirasi. “ Apakah yang akan ditinggalkan sebagai bekalan hidup di destinasi hakiki”.


Mengenang antara karya awal Abu Hassan Ali An-Nadwi , Maza Khasira Al-‘Alam bi Inhithoti Al-Muslimin juga memberi inspirasi kepada diri . Buku yang berjaya menjadi satu fenomena dalam dunia Islam ini menceritakan kerugian yang akan ditimpa keatas tamadun kemanusiaan jika kaum muslimin yang gemilang memartakan intipati ajaran Islam berundur dari pentas ketamadunan. Tatkala itu , manusia pasti hidup dalam kucar-kacir kekalutan dan kezaliman. Karya beliau dalam usia yang muda itu mendapat sambutan dunia Islam baik dari timur dan barat hingga ke saat ini.  Jikalau  dikala usia muda , Maulana Abu Hassan berjaya menggegar dunia dengan penulisan beliau , mengapa tidak kita sebagai orang muda.


Harap-harapnya saya dianugerakan “kekuatan bayan” ( penerangan: baca juga sebagai promosi) menerangkan dan mempromosi keindahan Islam yang acapkali disalaherti.


Agungnya Habrul Ummah Ibnu Abbas radhiallhu ‘anhu , kekuatan bayan beliau direkodkan oleh kata-kata Al- A’mash ( الأعمش ) dari Abi Wail  ( أبو وائل )ketika Ibnu Abbas berkhutbah menafsirkan Al-Quran di musim haji :

لو سمعته الروم والترك والديلم لأسلموا
"Jikalau Orang Rom , Atrak dan Dailam mendengarnya ( Tafsir dari Ibnu Abbas) nescaya mereka akan memeluk Islam."

Begitu juga kehebatan ‘ bayan’ yang dipamerkan oleh Ja’far bin Abi Tholib yang kita cintai di singgahsana Najashi. Kata-katanya menusuk jiwa sang raja sehingga menitis airmatanya seperti yang direkodkan di dalam surah Al-Maidah ayat ke-83 :


Dan apabila mereka mendengar Al-Quran Yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), Engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa Yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan kami, Kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab suci Al-Quran), oleh itu Tetapkanlah Kami bersama-sama orang-orang Yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).



Sungguh damai Islam yang diterangkan , memuliakan manusia , menentang kezaliman. Terasa luhur agama ini bila digambarkan oleh Ja’far bak luhur akhlaknya.


Begitulah sebahagian contoh mereka yang berjaya mempamerkan keindahan Islam baik dalam praktikal hidup mereka juga dengan kuasa ‘bayan’ yang dimanfaatkan . Moga usaha kecil melatih diri menulis untuk bertukar-tukar pendapat dan belajar membuat kajian dibantu oleh Allah.